
sinarharian.com
6 April 2017
http://www.sinarharian.com.my/nasional/minyak-sawit-malaysia-diperakui-mspo-1.655462
Minyak sawit Malaysia diperakui MSPO
SINGAPURA - Minyak sawit Malaysia dihasilkan daripada kawasan ladang diperakui Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, Malaysia juga sedang berusaha mewujudkan penanda aras bagi kawasan ditanam kelapa sawitnya agar tidak diselubungi dengan masalah pengharaman oleh mana-mana negara bagi pengeluarannya.
"Kami memang menyasar ke arah itu menerusi skim pensijilan MSPO. Pensijilan itu akan menunjukkan bahawa semua minyak sawit dari Malaysia adalah daripada kawasan yang diperakui," katanya kepada Bernama di luar acara Dialog Singapura Ke-4 bagi Sumber Asli Dunia Lestari 2017, di sini.
Wan Junaidi berkata, pensijilan itu "bermakna bahawa minyak sawit tersebut datang daripada kawasan sawit yang sah dan bukan daripada penebangan hutan tanpa kebenaran atau melakukannya secara haram.
"Ia juga semestinya mematuhi garis panduan alam sekitar yang ditetapkan oleh badan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan Parlimen Eropah untuk mengambil ketetapan resolusi hanya minyak sawit yang lestari dari segi alam sekitar yang boleh diimport ke Kesatuan Eropah (EU) selepas 2020.
Resolusi EU itu menekankan kepada skim minyak sawit lestari diperakui tunggal bagi eksport minyak sawit ke Eropah untuk memastikan minyak itu dihasilkan menggunakan kaedah lestari dari segi alam sekitar dan mengelakkan penebangan hutan.
Menurut resolusi itu skim pensijilan sekarang tidak berkesan dan tidak mematuhi standard kelestarian yang diterima antarabangsa dan justeru itu EU akan mengurangkan secara berperingkat minyak sawit daripada program biofuelnya.
Terdahulu, dalam ucap tama beliau, Wan Junaidi berkata perumusan MSPO bukan hanya berasaskan kepada Piawaian Malaysia (MS2530:2013) tetapi juga memenuhi syarat-syarat minyak sawit lestari diperakui yang ditetapkan oleh pasaran negara maju tertentu.
"Ia memperakui pengurusan kelapa sawit dan rantaian bekalan bagi perladangan sawit, kebun kecil terancang dan persendirian dan kemudahan pemprosesan minyak sawit," katanya.
Wan Junaidi berkata, MSPO dibangunkan secara perundingan dengan pihak berkepentingan dalam industri sawit, termasuk agensi kerajaan dan persatuan minyak sawit, dengan mengambil kira undang-undang dan peraturan domestik berkaitan dengan kriteria kelestarian.
Menurutnya, ketika ini, lebih 221,548 hektar kawasan ditanam sawit di Malaysia, termasuk kebun kecil, telah diperakui.
"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global sentiasa menumpukan kepada Malaysia berkaitan isu-isu penebangan hutan bagi membuka ladang kelapa sawit," katanya.
Beliau berkata, sebagai satu daripada pengeluar dan pengeksport terbesar minyak sawit dan produk sawit, Malaysia memainkan peranan penting untuk memenuhi peningkatan keperluan global bagi minyak dan lemak yang dihasilkan secara lestari.
Selain pensijilan MSPO, Wan Junaidi berkata, Malaysia melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan hasil pertanian, justeru itu mengehadkan pengembangan kawasan ditanam.
Malaysia menjadikan skim pensijilan MSPO itu, yang dilaksanakan sejak 2015, sebagai mandatori pada Disember 2019, bagi memastikan pelaksanaan efektif, katanya.
Industri minyak sawit Malaysia bermula tahun ini dengan prestasi positif apabila eksport meningkat 41.9 peratus kepada RM12.9 bilion dalam dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas. - Bernama